HDC: RM505.94 juta biayai SPRP

BINTULU: Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) membantu membiayai 1,131 projek membabitkan 24,553 pintu rumah panjang di bawah Skim Pinjaman Rumah Panjang (SPRP) sehingga September tahun ini.

Pengerusi HDC, Abdul Yakub Arbi berkata, jumlah pinjaman keseluruhannya mencecah RM505.94 juta.

SPRP yang diperkenal sejak 1978 itu merupakan usaha bersungguh Kerajaan Sarawak dalam membantu komuniti rumah panjang, katanya pada Program Randau Bersama Tuai Rumah dan Peminjam Pinjaman Kepada Perseorangan Rumah Panjang (PKPRP) Bahagian Bintulu di sini hari ini.

Abdul Yakub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian menegaskan, SPRP memberi penekanan kepada kepentingan pembayaran balik pinjaman bagi memastikan kelestarian skim tersebut.

Menurut beliau, pembayaran balik yang tepat pada masanya bukan sahaja memastikan kesinambungan skim terbabit tetapi turut memberi manfaat kepada komuniti rumah panjang yang lain.

“HDC telah melaksanakan beberapa program randau di seluruh kawasan projek SPRP pada tahun ini, bertujuan meningkatkan kesedaran peminjam mengenai pentingnya pembayaran balik pinjaman,” katanya.

Program tersebut merupakan platform mendidik peminjam mengenai tanggungjawab mereka dan memperkenalkan cara pembayaran yang lebih fleksibel serta mesra pengguna, tambah beliau.

“Kami berharap peminjam akan mengambil kesempatan ini untuk memahami pilihan pembayaran yang ada dan komited dalam memenuhi tanggungjawab mereka,” ujarnya.

Beliau berharap program itu akan mendorong peminjam untuk lebih proaktif dalam melunaskan pinjaman mereka demi kesejahteraan dan kemajuan komuniti rumah panjang.