Tangani isu sosial, pusat sokongan sosial komuniti akan dibina

BINTULU: Pembinaan Tempat Transit Gelandangan (TTG) Bintulu dijangka siap penghujung tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, perkembangan projek telah mencapai tahap 30 peratus siap lebih awal dari jadual.

“TTG itu kini dalam proses pembinaan dan akan siap lebih awal dari jadual serta dilengkapi dengan kemudahan yang disediakan mengikut perancangan.

“Kita akan melihat kepada operator bagi mengendalikan tempat tersebut seperti yang dilakukan di TTG Sibu,” katanya selepas melakukan lawatan kerja di Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Fatimah berkata pihaknya dengan kerjasama BDA juga akan membina pusat sokongan sosial komuniti bagi menangani isu sosial di Bintulu.

Kedua-dua pihak jelasnya, akan bekerjasama bagi mewujudkan Galeri Kraftangan Bintulu sebagai platform jualan hasil produk tempatan oleh penduduk.