KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa supaya menangani masalah bangunan sekolah daif tidak terhad kepada pembaikan kecil sahaja, kata Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee.
Katanya, jika tidak dinaik taraf secara holistik, sekolah-sekolah ini akan kembali kepada keadaan daif dalam masa singkat.
Setakat Jun 2024, terdapat 555 bangunan sekolah daif di Sarawak dan daripada jumlah itu, 361 berada pada skala enam dan 194 pula pada skala tujuh, katanya.
“Terima kasih kepada kerajaan atas usaha membaik pulih tandas di lebih 8,300 sekolah melalui peruntukan bajet lalu dan peruntukan terbaharu 2025 melibatkan baik pulih kantin dan musalla,” katanya semasa membahas Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Rodiyah berharap supaya perhatian khusus juga perlu diberikan kepada perkara kecil di asrama seperti katil, tilam, almari, dan dewan makan.
Ini kerana, ramai pelajar luar bandar yang terpaksa tinggal di asrama sering berdepan dengan kemudahan yang sudah rosak atau uzur.
Menurut Rodiyah, tanpa kemudahan yang selesa dan kondusif, dibimbangi tumpuan mereka terhadap pelajaran dan perkembangan peribadi mereka akan terjejas.
Mengenai kemudahan TABIKA di Kampung Perintah Gedong dan Kampung Lubok Punggor di Parlimen Batang Sadong, katanya, kedua-duanya berada dalam keadaan uzur sekali gus membahayakan keselamatan kanak-kanak.
Manakala, TASKA di Kampung Pelandok Laut tidak mempunyai bangunan sendiri dan terpaksa menumpang di dewan, tegas beliau.
Selain itu, tambahnya, beberapa TASKA dan TABIKA yang lain juga memerlukan baik pulih terutama dari segi keselamatan seperti pagar rosak, dinding retak, bumbung bocor dan pendawaian elektrik lama.
“Saya mohon kementerian berkaitan untuk memberi perhatian, segera menilai dan mengambil tindakan
sewajarnya.
“Di bawah pendekatan MADANI, kita menyaksikan peningkatan ketara dalam peruntukan untuk menaik taraf klinik-klinik daif setiap tahun dari RM100 juta pada 2023, kepada RM150 juta (2024), dan RM300 juta (2025), di bawah inisiatif MADANI.
“Saya ingin bertanya, jika kerajaan ada memperuntukkan dana menaik taraf klinik-klinik di Parlimen Batang Sadong terutamanya KK Jemukan dan kuarters untuk KK Gedong di Batang Sadong yang daif.
“Harapan saya supaya isu-isu yang disebut untuk kawasan Batang Sadong diberi pertimbangan oleh kerajaan dan agihan peruntukan perlu sampai terus kepada rakyat untuk dimanfaatkan tidak kira lokasi, warna kulit, jantina dan keturunan,” tegas beliau.