KUCHING: Sarawak mampu untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi kerana keupayaannya mengurus ekonominya dengan baik.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dengan sumber ekonominya yang baik ketika ini, kerajaan negeri dapat meneruskan agenda pembangunan dengan menyediakan infrastruktur asas seperti jalan raya, jambatan, bekalan elektrik dan air bagi membantu penduduk di luar bandar.
Katanya, meskipun Sarawak telah diiktiraf sebagai negeri berpendapatan tinggi, namun pendapatan isi rumah di negeri ini masih rendah dan perlu ditingkatkan.
“Negeri lain perlu kerja kuatlah. Ada orang madah ‘charity begins at home’, orang kampung kita gik banyak masalah. Jadi saya tulung orang kampung dolok.
“Sebab itu kita bina infra seperti jalan raya, jambatan, bekalan api dan air. Jika sebelum ini, guna diesel, sekarang guna solar. Semuanya guna duit,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Rangka Tindakan Kelestarian Sarawak di Kuching hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas komen bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir agar Sarawak membantu negeri-negeri miskin setelah diiktiraf sebagai negeri berpendapatan tinggi.
Abang Johari sebaliknya berkata ia adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat.
Ini kerana, Kerajaan Pusat mempunyai pelbagai sumber kewangan berbanding negeri ini seperti cukai petroleum, cukai korporat, dividen dan royalti sedangkan Sarawak hanya mendapat pendapatan dari cukai jualan minyak dan gas.
Beliau juga tidak bersetuju apabila Tun Mahathir membandingkan bajet diterima Sarawak berbanding Kedah pada Belanjawan baru-baru ini kerana negeri ini mempunyai keluasan hampir menyamai Semenanjung berbanding negeri di utara tersebut.
Mengambil contoh dalam sektor pendidikan, Sarawak katanya membantu Kerajaan Pusat dengan membaik pulih serta membina sekolah daif menggunakan duit sendiri walaupun ia adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat.
