KUCHING: Cadangan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) membangunkan fasiliti perangkap dan penyimpanan karbon (CCS) Barat Sarawak akan meletakkan Kuching hab perubahan industri minyak dan gas di Sarawak, Malaysia dan wilayah ini, kata Timbalan Premier Sarawak.
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata, Kuching Hab Gas Rendah Karbon memain peranan penting mencapai tenaga bersih pada masa hadapan.
Dengan rancangan membangunkan pelabuhan laut dalam di sini, Petros merancang membekal gas asli melalui fasiliti import LNG baharu, katanya sempena majlis Petros Connect 2024 di sini.
Beliau berkata, Petros serentak dengan itu akan membangunkan medan gas luar pantai di luar Kuching bagi meningkatkan fasiliti CCS Barat Sarawak.
Menurut Awang Tengah, Petros Connect adalah platform untuk menghubungkan pemegang taruh tempatan dan asing dalam industri minyak dan gas.
Petros Connect, katanya menggalakkan pertumbuhan industri minyak dan gas untuk membolehkan mereka menerokai medan minyak dan gas baharu dan menggunakan teknologi membangunkan aktiviti CCS.
Menurut Awang Tengah, kemahiran bakat adalah penting untuk menjayakan rancangan itu dan Petros bekerjasama rapat dengan institusi pengajian tempatan dan pusat pembangunan bakat bagi menyedia latihan dan peluang pekerjaan kepada pelajar, graduan dan meningkatkan kemahiran bakat tempatan.
Perkongsian itu akan membolehkan belia Sarawak menimba kemahiran berkaitan untuk memilih kerjaya berpendapatan tinggi dalam ekonomi rendah karbon, katanya.
Petros, tambahnya, adalah barisan hadapan transformasi ekonomi Sarawak dan Petros Connect akan membuka peluang dalam industri minyak dan gas untuk mengembangkan perniagaan mereka di Sarawak dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi rakyat Sarawak.
Pada majlis itu, beliau menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman antara Petros, institusi pengajian dan rakan industri untuk bekerjasama dalam melatih dan inisiatif penempatan pekerjaan, mengukuhkan keupayaan tenaga kerja muda.
GAMBAR:UKAS
