KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan syarikat-syarikat penerbangan domestik bagi memastikan harga tiket penerbangan yang ditawarkan adalah kompetitif.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia (MOT), Datuk Hasbi Habibollah berkata, hasil perbincangan tersebut, syarikat-syarikat penerbangan telah bersetuju untuk menambah kapasiti penerbangan dari semasa ke semasa bergantung kepada permintaan.
Katanya, MOT melalui MAVCOM akan meneruskan pemantauan terhadap harga tiket penerbangan bagi semua laluan penerbangan domestik termasuk laluan-laluan di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Sebagai usaha membantu mahasiswa, katanya lerajaan pada 2023 telah memperkenalkan inisiatif FLYsiswa iaitu bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar universiti awam, pelajar politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Ini termasuk pelajar matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi laluan domestik di antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi mengurangkan beban kewangan mahasiswa yang ingin pulang ke kampung halaman.
“Pelaksanaan inisiatif ini telah diteruskan pada m 2024 untuk manfaat hampir 60,000 mahasiswa terutama di Sabah dan Sarawak.
“Inisiatif ini dilaksanakan melalui kaedah pemberian credit shell iaitu syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada setiap pelajar yang layak untuk ditebus bagi maksud pembelian tiket penerbangan bagi laluan-laluan domestik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli pada sidang Parlimen, hari ini.
Selain itu katanya, Jemaah Menteri pada 13 Disember 2023 bersetuju dengan cadangan MOT untuk melaksanakan harga maksimum RM599 bagi tiket penerbangan sehala ekonomi dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Jelas Hasbi, tempoh pelaksanaan inisiatif ini adalah pada tiga hari perjalanan sebelum tarikh sambutan perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitiri, Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan Hari Krismas 2024.
“Melalui inisiatif ini, harga maksimum tiket penerbangan kelas ekonomi sehala ditetapkan pada harga RM599 tidak termasuk cukai dan fi.
“Bagi tiket penerbangan kelas ekonomi yang melebihi RM599, Kerajaan akan membayar perbezaan harga antara harga asal tiket penerbangan dan harga maksimum tersebut,” katanya.
Tambah beliau, tiket penerbangan yang berharga kurang daripada RM599 bagi laluan-laluan berkenaan akan dijual pada harga asal yang telah ditetapkan oleh syarikat-syarikat penerbangan.
Ini tidak melibatkan sebarang subsidi bantuan tiket penerbangan oleh kerajaan, katanya.
