KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang membina taman rekreasi awam di kawasan Batu Kawa.
Ia membabitkan kawasan seluas 24 hektar.
Timbalan Premier merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata pembinaan taman rekreasi itu akan merangkumi taman tema air dan kemudahan seperti laluan joging dan berbasikal, dinding mendaki tiruan dan banyak lagi.
“Rancangan tersebut merangkumi tanah lapang 16 hektar milik syarikat swasta dari Kuari Ang Cheng Ho menuju ke Emart Batu Kawa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan Perasmian Dewan Serbaguna Kuari Ang Cheng Ho di Batu Kawah, di sini, hari ini.
Majlis perasmian itu dilakukan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dr Sim berkata, pembinaan taman rekreasi terbabit juga sebagai lanjutan Projek Rejuvenasi Kuari Ang Cheng Ho Batu Kawah fasa pertama di kawasan seluas lapan hektar.
“Projek itu dirancang dibangunkan secara berperingkat untuk merancakkan lagi sosioekonomi bandar raya ini,” katanya.
Selain itu, beliau berkata sebanyak RM7 juta peruntukan tambahan diperlukan dari Kerajaan Sarawak bagi melaksanakan projek fasa kedua Rejuvenasi Kuari Ang Cheng Ho.
Katanya, projek fasa kedua itu akan melibatkan kerja-kerja pencahayaan dan kemudahan lain termasuk laluan pejalan kaki dan bagi aktiviti memanjat tebing.
