KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mahu aspek keselamatan ditekankan untuk semua peserta Regata Sarawak pada masa hadapan.
Ini susulan berlaku tragedi bot karam semasa sesi latihan perlumbaan perahu itu, baru-baru ini.
“Adalah amat penting bagi peserta untuk memastikan pengiring keselamatan dan pemantauan sewajarnya dari pihak berwajib sepanjang latihan dan perlumbaan,” katanya dalam kenyataan media Astana Negeri Sarawak.
Dr Wan Junaidi berkata, ini bagi mengelak kejadian malang seperti ini daripada berulang.
Di samping itu, beliau dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dengan rasa dukacita merakamkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi bot karam itu.
“Saya dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi amat berdukacita atas kehilangan mangsa-mangsa dalam tragedi ini,” tambahnya.
Mereka juga merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelamat dan pihak berkuasa atas usaha mereka yang tidak pernah berhenti dalam mengendalikan situasi ini.
