ART diperluas ke Batu Kawa

KUCHING: Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) akan diperluas ke Batu Kawa dengan laluan garisan kuning bagi mengatasi masalah kesesakan di kawasan berkenaan.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, usaha ini turut mengembangkan jaringan perhubungan melalui kenderaan awam.

“Setakat ini, kita mempunyai garisan biru dan merah untuk ART ini dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian meminta untuk mengembangkan lagi ART ke kawasan Batu Kawa dengan garisan kuning.

“Saya merasakan perkara ini tidak menjadi masalah kerana masih dapat dibincang lagi dan yang penting kita akan mempunyai kaedah perhubungan baharu dari sudut kenderaan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Dewan Serbaguna Kuari Ang Cheng Ho di Batu Kawa hari ini.

Jelas Abang Johari, pelaksanaan ART tersebut merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan Bahagian Kuching yang melibatkan kawasan Batu Kawa, Bau dan Matang.

Ujarnya, ia adalah tiga kawasan yang akan diberi perhatian terutamanya dalam pembangunan bandar atau lebih dikenali sebagai pembangunan semula kawasan bandar.

Terdahulu, Dr Sim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa memberitahu, Batu Kawa menjadi lokasi yang strategik untuk menggunakan khidmat ART memandangkan kepadatan penduduk yang begitu tinggi saban tahun.

“Sudah pasti ART akan menjadi pilihan ramai lebih-lebih lagi apabila garisan kuning ini nanti sepertimana yang dicadangkan oleh Sarawak Metro dalam perancangan asal di mana laluan ini akan dihubungkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS),” ujarnya.

Turut hadir Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Sarawak (Kerajaan Tempatan) Datuk Dr Penguang Manggil, ADUN Batu Kitang Datuk Ir Lo Khere Chiang, ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin, Ahli Dewan Negara Senator Dato Ahmad Dato Sri Ibrahim dan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Tan Kai.