KUCHING: Persatuan Wanita Universiti Malaysia Sarawak (MASNITA) mahu menjalinkan kolaborasi bersama pertubuhan wanita lain di Sarawak dalam meningkatkan pendidikan kanak-kanak, memperkasa kemahiran wanita dan menangani cabaran sosial.
Presidennya, Prof Dr Ramlah Zainudin berkata, pihaknya juga meneroka cara untuk menyokong kebajikan wanita yang kurang bernasib baik, terutama menyediakan bimbingan pendidikan kepada kanak-kanak daripada keluarga yang mencabar dari segi ekonomi.
“Kami juga membincangkan isu sosial yang melibatkan wanita dan bagaimana kami boleh membantu kakitangan wanita menghadapi cabaran sedemikian, bukan sahaja dalam universiti tetapi di seluruh Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat tehadap Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Astana Negeri Sarawak, hari ini.
Menurut beliau, Toh Puan menyuarakan komitmennya untuk memupuk perkongsian antara MASNITA dan pertubuhan wanita lain di Sarawak.
Malah katanya, Toh Puan sendiri akan mengetuai usaha kolaborasi MASNITA yang berpusat Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan organisasi lain untuk memajukan bidang pendidikan.
Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Timbalan Presiden MASNITA Prof Dr Fitri Suraya Mohamad Hapni Joblie dan delegasi MASNITA yang lain.
