KUCHING: Prosedur pelaporan ombudsman Sarawak yang menyamai laporan Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) dan yang lain akan dibentang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun hadapan.
Timbalan Menteri Integriti dan Ombudsman, Datuk Dr. Juanda Jaya berkata, Pejabat Ombudsman Sarawak ketika ini sedang menyelaras urus tadbir jabatan itu termasuk kakitangan dan operasinya.
“Rang Undang-Undang Ombudsman Sarawak 2023 hanya mula dikuatkuasakan April lalu dan pelantikkan Ketua Ombudsman Sarawak, Datuk Seri Abdul Ghafur Shariff pula pada Jun,” katanya selepas menghadiri Progam Bengkel Anti Rasuah dan Liabiliti Undang-Undang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini hari ini.
Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amat Mohamad Asfia Awang Nasar merasmikan bengkel itu.
“Bermula tahun hadapan, kita akan buat laporan, aktiviti dan kes yang dikendalikan oleh ombudsman ke DUN.
“Pada sidang kali ini, belum ada laporan dikemuka memandangkan kita baharu sahaja menguatkuasakan undang-undang dan pelantikkan dan segala urusan pentadbiran Ombudsman Sarawak,” katanya.
Katanya, drafnya akan mengikut standard negara Scandinavia seperti Sweden, Finland dan akan dibentang di DUN seterusnya sedia untuk dibahaskan oleh mana-mana ADUN yang ingin mendapat penjelasan berkaitan pelaporan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak ombudsman,” kata Juanda.
Mohamad Asfia sementara itu berkata, sistem ombudsman berkenaan mengambil contoh sistem yang diguna pakai oleh Sweden sebagai langkah mengelakkan penyalahgunaan kuasa.
“Premier mengadaptasi sistem ombudsman Sweden untuk menghalang laporan yang dibuat oleh jawatankuasa ombudsman dijadikan sebagai alat oleh eksekutif.
“Agar kitaran kejam dalam kalangan mereka yang mempunyai kedudukan tidak menyalahgunakan laporan yang diberikan oleh PAC atau ombudsman digunakan terhadap ahli politik atau bekas menteri,” jelasnya.
