Guna Permodelan Maklumat Bangunan majukan hartanah

KUCHING: Pemaju perumahan perlu menggunakan Permodelan Maklumat Bangunan (BIM) untuk membangunkan projek hartanah di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penggunaan BIM penting untuk melanjutkan penyelidikan di luar pasaran hartanah.

“Justeru, saya mencadangkan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sarawak (SHEDA) agar melanjutkan penyelidikan di luar pasaran hartanah.

“Dunia kini dipacu oleh Kecerdasan Buatan (AI) dan SHEDA perlu mencari pelbagai cara bagi memenuhi permintaan pasaran masa kini dengan menggunakan BIM.

“Gunakan platform ini untuk menyelesaikan keadaan tanah yang sukar supaya pembangunan tanah pilihan menjadi lebih luas.,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Makan Malam Tahunan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sarawak (SHEDA) 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam tadi.

Menurut Abang Johari, kerajaan komited terhadap pembangunan bandar inklusif, dengan membantu menyediakan peluang kepada golongan berpendapatan rendah memiliki rumah mampu milik di kawasan bandar.

“Mereka mesti menjadi sebahagian daripada pembangunan bandar. Kita boleh mengenal pasti tanah di kawasan membangun untuk membina rumah yang boleh dimiliki B40 di pusat bandar,” katanya.