KUCHING: Kerajaan Sarawak menyediakan modal benih permulaan Dana Kekayaan Daulat dan Masa Depan Sarawak (SSWFF) sebanyak RM8 bilion.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan tahunan progresif SSWFF antara RM400 juta hingga RM600 juta sehingga 2034.
“Ini untuk dilaburkan dalam portfolio berkaitan untuk meningkatkan simpanan seiring dengan
pendapatan yang terus meningkat sehingga mencatat rekod tertinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan yang dibacakan wakilnya Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika merasmikan Bursa Marketplace Fair Sarawak 2024 di Vivacity Megamall, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, sebanyak 95 syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia adalah dari Sarawak, dengan nilai atau market capitalisation sebanyak RM301 bilion.
“Dari segi penyertaan pelabur pula, Sarawak merekodkan hampir 84,000 pemilikan akaun Central Depository System (CDS) setakat ini,” tambahnya.
Abdul Wahid berkata, ini merupakan 3.6 peratus daripada jumlah akaun CDS individu di seluruh negara.
Beliau berkata, dengan populasi melebihi 2.5 juta orang, Sarawak mempunyai potensi besar untuk meningkatkan penyertaan pelabur runcit dan acara Bursa Marketplace Fair terbabit amat sejajar usaha meningkatkan bilangan pelabur dari negeri ini.
