KUCHING: Projek Pembinaan Institut Kemahiran Islam Sarawak (IKMAS) fasa dua dengan kos kontrak bernilai RM34.289 juta siap dibina di Telaga Air, di sini.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaannya dibuat secara konvensional (perunding) dan Azan Engineering kontraktor dilantik.
“Projek ini berjaya disiapkan dengan perakuan siap kerja (CP) telah dikeluarkan 9 Ogos lalu,” katanya di majlis penyerahan projek terbabit hari ini.
Alexander berkata, pembinaan IKMAS fasa dua ini terletak di kawasan seluas 2.4 ekar (0.971 hektar) bagi menyediakan fasiliti tambahan.
Katanya, fasiliti terbabit ialah satu blok akademik dua tingkat terdiri dari bilik pengetua, bilik pensyarah, bilik kuliah bilik mesyuarat utama.
“Dua blok dua tingkat untuk asrama siswi mampu menempatkan 250 pelajar. Blok ini turut dilengkapi dengan pejabat pengurusan asrama, bilik rawat dan ruang sokongan,”katanya.
Selain itu, katanya terdapat sebuah masjid berkapasiti 700 orang; sebuah menara tangki air berkapasiti 40,000 gelen; dan gelanggang sukan serta 118 parkir kereta dan 233 parkir motosikal.
