KUCHING: Rangka kerja undang-undang untuk mengawal selia pengagihan hidrogen bakal diwujud menerusi Rang Undang-Undang Pengagihan Gas (Pindaan) 2024 yang diperkenal di negeri ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata, ia merangkumi penggunaan bahan mentah dikeluarkan, diperoleh ke negeri ini.
“Malah ia juga termasuk premis digunakan untuk penjanaan dan penghantaran kepada pengguna di Sarawak dan untuk eksport,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan Rang Undang-Undang Pengagihan Gas (Pindaan) 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Tambah Julaihi, RUU itu akan menggabungkan peruntukan baharu dalam Bahagian IVA untuk mengawal selia aktiviti berhubung hidrogen, gas yang baharu dimasuk dalam takrifan gas dalam Ordinan Utama.
“Menteri yang bertanggungjawab dengan pelaksanaan dan pentadbiran Bahagian IVA ialah menteri yang bertanggungjawab ke atas tenaga dan kelestarian alam sekitar.
“Bahagian IVA akan ditadbir oleh pengawal selia, dibantu oleh pegawai yang dilantik oleh menteri.
“Pengawal selia ini berfungsi mengeluarkan lesen untuk aktiviti seperti penjanaan hidrogen menggunakan bahan mentah atau gabungan, membangun atau mengekalkan penjanaan kemudahan hidrogen, penggunaan mana-mana premis, bangunan, pemasangan atau tanah untuk menyimpan hidrogen,” katanya.
Selain itu, RUU ini juga memperkenalkan kesalahan baharu dan penalti berhubung menjalankan sebarang aktiviti yang tidak dibenarkan berkaitan hidrogen.
“Selanjutnya, Rang Undang-undang Pindaan ini juga memberi kuasa kepada Pengarah atau Pengawal Selia mengenakan penalti kewangan yang boleh dipulihkan sebagai hutang sivil dan untuk dibayar ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Negeri.
“Di bawah peruntukan baharu ini, sebarang ketidakpatuhan dengan Ordinan atau peraturannya akan dikenakan penalti dalam jumlah tidak melebihi RM20 juta.
“Ketidakpatuhan berulang juga akan berdepan penalti sepuluh kali ganda penalti kewangan asal yang dikenakan oleh Pengarah atau Pengawal Selia,” ujarnya.
