KUCHING: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan golongan belia disaran memberi maklum balas melalui saluran yang betul.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, ini bagi memastikan agensi-agensi kerajaan dapat berfungsi dengan lebih efisien dan memahami kehendak rakyat.
Menurutnya, maklum balas daripada komuniti mustahak bagi memastikan inisiatif kerajaan yang dilaksana tercapai.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Karnival Kita Madani anjuran Jabatan Penerangan di Pusat Konvensyen Penview (PCC).
Katanya, karnival ini bertujuan untuk mempromosikan nilai-nilai kemasyarakatan yang positif serta merapatkan hubungan antara masyarakat.
Selain menawarkan pelbagai aktiviti menarik, termasuk pameran budaya, pertunjukan seni dan pelbagai gerai makanan tradisional, karnival itu turut mengadakan jualan Rahmah di perkarangan PPCC.
Menurutnya, karnival ini bukan sahaja bertujuan mendekatkan agensi kerajaan dengan rakyat, malah turut memberikan kesedaran tentang tanggungjawab sosial, serta membentuk masyarakat yang lebih harmonis dan sejahtera.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Timbalan Ketua Pengarah Penerangan Malaysia Erwin Khairul Ahmad, Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak Helmy Hamid dan Pengarah UKAS Samuel Simon.
