GEDONG: Kerajaan Sarawak berikrar akan terus memperjuangkan hak-hak dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negeri ini dihormati.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak berhak mengurus sumber asli, tanah dan hasil negeri tanpa campur tangan yang tidak wajar.
Katanya, kerajaan negeri juga akan komited untuk memperkasakan sektor ekonomi dan sosial demi kemakmuran rakyat serta memacu pembangunan rakyat ke hadapan.
“Kita kini memperjuangkan hak negeri kita berhabis-habisan berdasarkan undang-undang kerajaan negeri.
“Oleh demikian kini hampir semua projek pembangunan ekonomi dibangun di bawah undang-undang kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Program Perhimpunan Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Dewan Datuk Patinggi Ali, Gedong hari ini.
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu juga menekankan bahawa kualiti pimpinan sesebuah kerajaan harus seimbang dan selari dengan pembangunan ekonomi dunia kerana Sarawak diiktiraf sebagai negeri berpendapatan tinggi.
“Sebagai satu-satunya permain penting dalam ekonomi dunia khususnya Asia, maka kualiti pimpinan hendaklah selari dengan perkembangan ekonomi dunia,” ujarnya.
Terdahulu, Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera (PBB), Miro Simuh dalam ucapan aluannya menegaskan bahawa komitmen dan perjuangan perlu diteruskan terutama kepada golongan pemuda untuk memastikan masa depan Sarawak yang lebih cerah.
Ujarnya, sokongan Pemuda dalam Program Perhimpunan Pemuda Parti PBB sebagai bukti semangat perjuangan pemuda dalam memperjuangkan hak dan masa depan negeri.
“Pelan jelajah Sarawak yang dirancang oleh pergerakan pemuda ini bertujuan memastikan kesinambungan politik dan memperkasakan suara belia di negeri ini.
“Program ini menjadi medium untuk menyatukan tenaga, idea, dan semangat belia dalam meneruskan perjuangan,” ujarnya.
Katanya, setiap zon di Sarawak akan dilawati untuk membina momentum menjelang pilihan raya negeri (PRN).
Hadir sama Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib Yang di-Pertua Kanan Parti PBB Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Setiausaha Agung Parti PBB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Ketua Pergerakan Wanita Parti PBB Dato Sri Fatimah Abdullah serta ahli-ahli parti.
