KUCHING: Kem KASIH Keluarga sempena Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2024 akan diadakan di Pantai Pugu, Lundu, mulai 16 hingga 17 November ini.
Program perkhemahan keluarga julung kalinya dianjurkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, kem ini dijangka menarik lebih 1,200 peserta yang bakal menikmati pelbagai aktiviti kekeluargaan.
“Selain itu, peserta turut berpeluang untuk mengikuti sesi sembang santai bersama artis jemputan, Amir Jahari untuk berkongsi kisah perjuangan beliau dalam berhadapan dengan isu kesihatan mental.
“Beliau juga akan menghiburkan peserta perkhemahan bersama rakan artis yang lain seperti Saji Daow pada malam kesenian “Rasa Sayang”,” katanya.
Di samping itu, katanya, pelbagai hadiah menarik turut menanti seperti hadiah cabutan bertuah utama berupa sebuah motosikal dan Set Khemah bernilai RM2,000 dari Pro Outdoor Sarawak.
“Peserta yang mengikuti pertandingan seperti pertandingan video memasang khemah paling kreatif dan istana pasir terbaik berpeluang untuk memenangi set khemah.
Manakala, pemenang bagi pertandingan khemah tercantik akan memenangi sebuah peti sejuk kereta,” ujarnya.
Beliau memberitahu, penyertaan program Kem KASIH Keluarga ini adalah percuma dan 400 khemah terawal yang mendaftar akan turut diberikan goodie bags (mengandungi Water proof box, tuala cepat kering, lampu hazard LED dan perkakas makanan seperti sudu dan garpu) percuma.
