KUCHING: Sarawak akan memperkenalkan Ujian Pentaksiran Standard yang memberi tumpuan kepada tiga subjek utama, iaitu Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris bermula tahun hadapan.
Perkara itu diumumkan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn sambil berkata, penilaian ini akan dikendalikan oleh jawatankuasa khas iaitu kementeriannya, Swinburne University, Cambridge University di bawah Cambridge Press and Assessment (CUPA) dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak.
Katanya, jawatankuasa ini akan merangka dan mencadangkan strategi pelaksanaan penilaian berdasarkan piawaian antarabangsa.
Menurut Roland Sagah, ujian tersebut penting sebagai mekanisme untuk mengukur tahap pendidikan pelajar secara awal.
“Kami percaya bahawa bentuk penilaian seperti ini diperlukan. Tanpa ujian, sukar untuk menentukan tahap pendidikan anak-anak kita. Tidak boleh hanya menunggu sehingga Tingkatan 5 untuk SPM, kerana ketika itu sudah terlambat.
“Lebih awal kita dapat menilai, lebih mudah untuk merancang langkah seterusnya,” katanya selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Penyelidikan dan Inovasi Pendidikan (ICERI) di Hotel Riverside Majestic di sini, hari ini.
Jelasnya, jawatankuasa tersebut akan menyediakan soalan peperiksaan yang akan diselaraskan dengan format peperiksaan Malaysia dan penilaian kendiri yang sedang digunakan di sekolah.
Tambah beliau, penilaian ini juga membantu ibu bapa memahami prestasi anak-anak mereka serta menentukan kursus atau bidang yang sesuai untuk masa depan.
“Ini selari dengan usaha Sarawak untuk meningkatkan kemasukan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) kepada 60 peratus seperti yang digariskan dalam agenda Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030).
“Penilaian ini dijangka memberi impak positif terhadap pembangunan modal insan dan memastikan Sarawak terus melahirkan pelajar yang kompeten dalam bidang STEM,” katanya.
