KOTA SAMARAHAN: Golongan belia boleh menjadi ejen perubahan dalam usaha membanteras rasuah melalui penggunaan teknologi moden dan media massa secara efektif.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Intergriti dan Ombudsman), Dato Dr Juanda Jaya berkata, golongan muda mempunyai peranan penting dalam memerangi rasuah, terutama dengan kelebihan teknologi dan media tanpa batasan pada masa kini.
“Media masa kini yang tanpa batasan menawarkan peluang untuk menyebarkan kesedaran dan mengetengahkan isu rasuah dengan lebih pantas dan meluas.
“Anak muda yang celik teknologi mampu menjadi ejen perubahan melalui penggunaan teknologi moden dalam usaha membanteras rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) 2024 Zon Sarawak di Dewan Delima, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) hari ini.
Dunia hari ini katanya telah memperlihatkan bagaimana rasuah boleh meruntuhkan sebuah negara seperti yang berlaku di Venezuela yang sedang berdepan kebankrapan akibat rasuah dan salah guna kuasa.
Katanya, kekayaan yang sepatutnya dikongsi bersama rakyat gagal membawa manfaat kerana ketirisan dan amalan korupsi.
Menyedarinya, Kerajaan Sarawak bertegas dan komited untuk memerangi rasuah secara menyeluruh, bermula dari akar umbi, ujar beliau.
HARA 2024 Zon Sarawak diadakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya rasuah, dengan fokus utama terhadap pembabitan belia dalam membentuk budaya integriti dan ketelusan di peringkat negeri dan negara.
