KUCHING: Sarawak mempunyai pelbagai sumber yang masih belum diterokai namun berpotensi untuk dijadikan tenaga boleh diperbaharui.
Bagi tujuan itu, syarikat tempatan Acacia Power Sdn Bhd bersama NextChem S.p.A dari Itali sepakat menjalin kerjasama untuk menerokai teknologi baharu dalam tenaga boleh diperbaharui yang akan memberi manfaat kepada Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, teknologi baharu ini membolehkan Sarawak mengorak langkah yang lebih besar dalam mencari sumber tenaga boleh diperbaharui yang ada di Sarawak.
Mengambil contoh penemuan rumput Napier sebagai sumber tenaga baharu, Abang Johari memberitahu semua penemuan ini berjaya dibuat dengan adanya teknologi terkini.
“Sebelum ini, tiada siapa yang mempedulikan rumput ini namun dengan adanya teknologi baharu, dan kini kita mengadakan kerjasama bersama NextChem S.p.A di bawah MAIRE Group yang mempunyai pengalaman luas dalam teknologi ini, saya yakin lebih banyak inovasi yang menggunakan teknologi baharu akan dicipta dan dipertingkatkan,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian semasa majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Acacia Power Sdn Bhd dan NextChem S.p.A di Hikmah Exchange, di sini.
Menurut Abang Johari, penerokaan yang lebih luas dalam bidang ini berpotensi untuk mengurangkan kos pengeluaran hidrogen pada masa hadapan.
Katanya, ini yang berlaku kepada kos pengeluaran tenaga solar yang kini menurun sebanyak 80 peratus dalam tempoh 10 tahun.
“Mungkin sekarang adalah masa sesuai ada pengeluaran hidrogen secara besar-besaran dan kemajuan teknologi mengenai elektrolisis.
“Jika itu berlaku, maka ada kemungkinan, seperti yang diramalkan oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) bahawa menjelang 2030, kos akan dikurangkan sebanyak 50 peratus,” jelas beliau lagi.
Menerusi MoU tersebut, Acacia Power Sdn Bhd dan NextChem S.p.A akan bersama membangunkan loji kuasa cip kayu berkapasiti besar di Sarawak.
Turut hadir Duta Besar Itali ke Malaysia Dr Massimo Rustico, Pengarah Acacia Power Sdn Bhd Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Dato Husain, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Naib Presiden Kanan NextChem S.p.A Giovanni Sale.
