SARATOK: Pergerakan Pemuda dan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka menyantuni seorang warga emas di Kampung Tanjung Hulu, di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri bersama isteri, Norlida Sharkawi dan Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Betong (PSKB), Abang Suhaimi Abang Mohamad bersama-sama 10 sukarelawan menyantuni warga emas, Lohan Ganti yang kini dijaga oleh ahli keluarga Perancis Sapong.
Mohamad Duri berkata, pihaknya membantu membina bilik kediaman bagi menempatkan Lohan dengan menaik taraf rumah kediaman keluarga Perancis beberapa bulan lalu.
“Lohan turut dibantu sebanyak RM500 sebulan melalui Bantuan Warga Emas (BWE) oleh Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM ) Bahagian Betong,” katanya.
Sementara itu, wakil Pejabat JKM Bahagian Betong, Dayang Norfitri Abang Sapini berterima kasih kepada ADUN Kalaka atas keprihatinan terhadap keperluan Lohan yang merupakan klien Program Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR).
