MIRI: Program Pemantapan Pendidikan Sarawak (SEEP) diyakini akan menjadi ‘game-changer’ dalam mengubah mutu pendidikan di negeri ini jika dilaksanakan dengan jayanya.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, SEEP adalah inisiatif utama kementeriannya bertujuan meningkatkan pencapaian pendidikan di seluruh Sarawak.
Menurutnya, MEITD akan berkolaborasi bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak untuk memastikan kelancaran pelaksanaan program tersebut.
Bagi menjayakannya, MEITD telah mengadakan Sesi Randau bagi menerangkan dengan lebih dekat mengenai SEEP kepada pengetua di 185 sekolah yang terlibat dalam program berkenaan dan akan diadakan dari zon ke zon di seluruh Sarawak.
“Ini untuk menyelesaikan segala isu berkaitan pelaksanaan program ini. Kami memandang serius program ini untuk meningkatkan taraf pendidikan di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sesi Randau Sarawak Education Enhancement Programme (SEEP) Bagi Zon Utara 1 Sarawak di Imperial Hotel, Miri hari ini.
Tegasnya, program ini dirangka untuk mengurangkan beban guru sambil memastikan peningkatan prestasi pelajar, khususnya di
luar bandar.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mempersoalkan kemungkinan untuk meneruskan Program Sekolah Luar Bandar Berprestasi Tinggi (HIPERS) atau menggabungkannya dengan SEEP.
Katanya, matlamat yang digariskan oleh HIPERS adalah baik, namun tidak semua sekolah yang terlibat dalam program itu mengikut objektif yang ditetapkan.
“Ia sepatutnya menjadi peningkatan. Dan ingatlah, 26 sekolah itu semuanya adalah sekolah luar bandar. Beberapa sekolah telah berada di HIPERS selama lebih daripada 20 tahun. Tetapi kita perlu menyemak semua ini,” katanya.
