KUCHING: Itali komited terlibat dalam inisiatif tenaga hijau Sarawak, khususnya dalam usaha peralihan tenaga dan penyahkarbonan sejajar dengan matlamat global dan Kesatuan Eropah (EU).
Duta Besar Itali ke Malaysia, Massimo Rustico melihat Sarawak sebagai kawasan penting di Malaysia, terutama kerana peranannya dalam projek peralihan tenaga dan pembangunan.
Sebagai salah sebuah negara industri terkemuka dunia, Itali ujarnya berminat bekerjasama dengan Sarawak, khususnya dalam bidang peralihan tenaga yang mana Sarawak telah diiktiraf sebagai pusat kuasa utama.
“Kami merupakan pemain utama dunia dalam keupayaan industri dan teknologi.
“Kerajaan Itali memberikan sokongan penuh terhadap projek ini, sejajar dengan usaha EU untuk menggalakkan penyahkarbonan di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini.
Ke arah itu, Massimo memberitahu satu Memorandum Persefahaman (MoU) akan dimeterai pada petang ini antara Sarawak dan sebuah syarikat teknologi global terkemuka merangkumi bidang peralihan tenaga dan pembuatan maju.
“Inilah sebabnya kami berminat untuk berkongsi teknologi kami.
“Kami juga bersedia menyediakan sokongan kewangan yang diperlukan, memandangkan ini sejajar dengan matlamat global EU,” ujar beliau lagi.
Massimo turut melahirkan keyakinannya terhadap potensi Sarawak untuk menjadi hab hijau dan berhasrat memainkan peranan dalam merealisasikan visi ini.
