KUCHING: Pendidikan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) penting untuk difahami khususnya dalam kalangan pelajar undang-undang agar mereka memahami rasional di sebalik perjanjian bersejarah itu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelajar perlu memahami semangat di sebalik MA63 dan sebab Sarawak diberi layanan khas dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, pendekatan ini penting untuk mendidik individu berhubung hak dan kedudukan Sarawak secara akademik dan berfakta, bukan sekadar dari sudut politik semata-mata.
Menurutnya, usaha ini telah dimulakan dengan menawarkan kursus Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) melalui cawangan Universiti Malaya (UM) di Sarawak.
“Kami telah diberi kebenaran untuk menjalankan kursus undang-undang – LLB – di Sarawak melalui cawangan Universiti Malaya (UM).
“Swinburne juga menawarkan kursus undang-undang dengan pilihan subjek elektif, termasuk undang-undang NCR, undang-undang adat serta MA63,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di sini, malam tadi.
Jelas Abang Johari, beliau telah meminta agar MA63 dijadikan subjek elektif. Dengan adanya kursus undang-undang ini, ia bukan sekadar polemik, tetapi menjadi latihan akademik.
“Namun, perlu ada individu yang memahami rasional di sebaliknya, semangat MA63 dan mengapa Sarawak menerima layanan khas dalam perlembagaan,” tambahnya lagi.
Hadir sama ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan-Timbalan Menteri, ketua-ketua jabatan.
