KUCHING: Sarawak menyaksikan sejumlah 19,964 kes kemalangan jalan raya dicatat sepanjang tempoh kajian bermula Januari hingga November 2024.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, data tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 466 kes bersamaan 2.4 peratus berbanding tahun lepas iaitu sebanyak 19,498 kes.
“Kes kemalangan maut menunjukkan penurunan sebanyak tiga peratus iaitu daripada 336 kes pada 2023 kepada 326 kes tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan selepas Program Advokasi Kempen Keselamatan Jalan Raya Menjelang Hari Krismas 2024 dan Hari Bertemu Pelanggan di sini, hari ini.
Menurut Mancha, kajian mendapati punca utama berlakunya kemalangan jalan raya ialah sikap cuai pemandu atau pengguna jalan raya itu sendiri.
“Sikap mementingkan diri sendiri dan tidak bertanggungjawab merupakan sikap negatif yang tidak perlu ada dalam kalangan pengguna jalan raya.
“Justeru, semua jalan raya harus menyemai sikap berhati-hati, bertolak ansur serta patuh kepada peraturan dan undang-undang jalan raya,” katanya.