Azizul Adenan ketua cawangan N.3 Tanjong Datu, semua menang tanpa tanding

LUNDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan dilantik sebagai Ketua Cawangan Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tanjong Datu.

Pemilihan itu tanpa melibatkan pertandingan daripada Badan Induk, Wanita dan Pemuda ketika Mesyuarat bersama Ketua-Ketua Ranting dan Cawangan Parti PBB N.3 Tanjong Datu, di sini, semalam.

Sementara itu, menurut Mantan Ketua Cawangan Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu, beliau berharap agar semua ketua-ketua ranting yang telah terpilih membuktikan potensi masing-masing untuk mengekalkan Parti PBB sebagai kubu kuat Gabungan Parti Sarawak (GPS).

”Penggal 2024 hingga 2027 merupakan penggal yang paling penting sebagai persediaan menghadapi pilihan raya nanti.

”Pemilihan ahli jawatankuasa (AJK) cawangan yang baharu ini berdasarkan hala tuju Parti PBB era baharu untuk menjadikan Sarawak maju menjelang 2030 dengan menggabungkan pemikiran orang lama dan baharu,” katanya.

Mesyuarat itu dihadiri seramai 562 perwakilan dan pemerhati serta AJK Cawangan Badan Induk, Wanita dan Pemuda.

Azizul Annuar berkata, Parti PBB N3 Tanjong Datu telah melahirkan ramai pemimpin seperti mantan Ketua Menteri Sarawak, Almarhum Tok Nan dan Mantan Ahli Parlimen Santubong, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang dilantik Yang di-Pertua Negeri Sarawak Kelapan serta mantan ADUN Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu.

“Ini semua adalah kerana hasil daripada sokongan dan kerja keras jentera parti di N3 Tanjong Datu,” tambahnya.