KUCHING: Seramai 886,288 penerima dalam pelbagai kategori layak untuk mendapat Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dengan implikasi kewangan sebanyak RM464.5 juta.
Premier Saawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, daripada jumlah itu, seramai 410,529 adalah isi rumah, 361,295 penerima bujang dan 114,464 warga emas tiada pasangan tiada anak.
Katanya, mereka yang layak adalah rakyat Sarawak berpendapatan rendah yang mempunyai kad pengenalan K, menetap di Sarawak dan merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Empat tahun 2024 berdasarkan maklumat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Kerajaan Sarawak akan menggerakkan jentera pentadbiran di seluruh Sarawak bagi membantu melaksanakan program SKAS, termasuk semua Residen dan Pegawai Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Service Sarawak Centre dan Setiausaha-Setiausaha Politik akan turun padang.
“Mereka akan bekerjsama dengan wakil rakyat untuk meberikan bantuan kepada rakyat yang akan mendaftar kerana ini adalah cara baharu.
“Saya akan lancarkannya kelak pada Februari nanti secara rasmi selepas semuanya selesai,” katanya pada sidang media selepas meninjau proses pendaftaran SKAS di UTC Kuching hari ini.
Menurut Premier Sarawak, mereka yang tidak tersenarai dalam STR tetapi memenuhi kriteria kelayakan boleh mengemukakan permohonan mulai 1 Februari hingga 31 Mac 2025.
Menjelaskan kaedah pembayaran SKAS secara baucar digital menggunakan e-dompet -S Pay Global – Abang Johari berkata, bagi memastikan tiada penyelewangan berlaku dan setiap isi rumah mendapat barangan makanan yang sepatutnya.
Tegasnya, Kerajaan Sarawak telah menilai kaedah pembayaran bantuan sebelum ini seperti tunai dan baucar di mana ketirisan dan salah guna boleh berlaku antara penerima dan peniaga.
“Dulu kita ada bantuan BRIM, sepatutnya ia untuk keperluan yang perlu. Tetapi ia digunakan untuk perkara lain.
“Akhirnya, ia tidak berkesan walaupun sudah diberi tunai,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari yakin proses pendaftaran dan pembayaran SKAS kepada semua penerima yang layak akan selesai dalam tempoh enam bulan.
Akui sistem baharu itu akan mewujudkan cabaran di kawasan luar bandar kerana kemudahan internet yang terhad, beliau tetap percaya semuanya akan berjalan lancar dengan dibantu seluruh jentera kerajaan.
Berdasarkan status terkini, seramai 244,000 penerima yang layak telah mendaftar untuk mendapatkan SKAS sejak ia mula dibuka pada 1 Januari 2025.
