Pertandingan Cabaran Muaythai Tanjong Manis mulai 24- 25 Januari

SARIKEI: Pertandingan Cabaran Muaythai P. 206 Tanjong Manis akan diadakan di Stadium Bola Keranjang, Taman Susur Jambu, di sini, mulai 24 hingga 25 Januari ini.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab berkata, pertandingan dianjurkan Pusat Khidmat Parlimen 206 (P.206) Tanjong Manis dengan kerjasama Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dan sokongan dari Perbadanan Sukan Negara (SSC), Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) serta Persatuan Muaythai Malaysia.

Katanya, pertandingan bertujuan mencungkil bakat baharu di luar bandar dan sebagai pelapis skuad Sukan Malaysia (SUKMA) dengan pendaftaran bermula 24 Januari pada jam 3 petang diikuti sesi Mari Mencuba Sukan Muaythai dari jam 4 hingga 6 petang. Manakala,
perlawanan muaysport, semi pro dan pro pada 25 Januari mulai jam 9 pagi hingga 11 malam.

“Saya menggesa warga Tanjong Manis khususnya belia yang berminat dengan sukan muaythai untuk hadir memeriahkan acara cabaran pada hari itu dan kemasukan adalah percuma,” katanya semasa sidang media.

Pertandingan akan disertai Kelab PS Muaythai Bintulu, Raff Terss Muaythai Gym, Selangor, Muaythai Kenyalang Kuching, Sting Muaythai Kuching, Bau Muaythai, Singa-30 Muaythai Club Miri, Legacy Muaythai Kuching dan West Borneo Muaythai Club Kalimantan Barat.