KABONG: Penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong digalak menyertai Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, PBS adalah petugas sukarelawan yan akan memberi pertolongan kecemasan pertama sebelum kehadiran bomba di lokasi kejadian.
“Oleh itu, saya menggesa penduduk di kawasan ini terutamanya kepada mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir dan tanah runtuh agar menyertai pasukan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Randau bersama PBS Kabong di kediaman Penghulu Rahman @ Dom Kapok dekat Kampung Simpang Empat Kabong, di sini.
Chee Kadir juga menyerahkan geran khas Kerajaan Sarawak kepada PBS Kabong berjumlah RM10,000 di majlis itu yang juga dihadiri Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok, Putra Ila; Penaung PBS Kabong, Penghulu Rahman @ Dom Kapok; Pengerusi PBS Kabong, Sajali Muhi dan Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kabong (LAKIK), Ulin Tabur.
