Pelajar IPT, universiti diberi taklimat inisiatif pendidikan Kerajaan Sarawak

KOTA SAMARAHAN: Seramai 900 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak diberi taklimat Inisiatif Pendidikan Kerajaan Negeri Sarawak, “Sarawakku Sayang, Siswa-Siswi Disantuni” di Dewan Jubli kampus universiti tersebut di sini, hari ini.

Program anjuran Jabatan Premier Sarawak dengan kerjasama UiTM Cawangan Sarawak itu mencakupi beberapa siri taklimat bagi mendedahkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mengenai inisiatif dan dasar-dasar yang dilakukan kerajaan.

Antaranya Strategi Pembangunan Pasca-Covid 2030 (PCDS-2030) dan Dasar Ekonomi Baharu Sarawak yang dibentang oleh Penolong Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Sarawak, Jabatan Premier Sarawak, Mohd Hafiz Ali diikuti inisiatif pendidikan Kerajaan Sarawak oleh Ketua Hal Ehwal Korporat Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Suraya Morshidi serta Penolong Pengarah Seksyen Pengurusan Data dan Komunikasi Awam, Yayasan Sarawak, Haznetta Sarenau Howell dan bantuan kewangan sewaan Sarawak (SRAS), Ketua Seksyen Pemasaran Perbadanan Perumahan Sarawak (HDC), Abang Zaidan Abang Abdul Rahim.

Program tersebut akan diperluaskan ke IPT dan universiti lain.

Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman merasmikan majlis tersebut. Hadir sama, Ketua Kordinator Program Jangkauan Jabatan Premier Sarawak yang juga Setiausaha Politik Premier Sarawak, Abdul Samad Gany serta setiausaha-setiausaha politik yang lain.

Hadir sama, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) menjalankan fungsi Rektor UiTMCS, Prof. Madya Dr. Mohammad Isa Mohamadin.

Turut diadakan adalah penyerahan borang tahun kedua skim bantuan sewa kediaman Sarawak –IPTA/IPTS.