KOTA SAMARAHAN: Jerayawara program jangkauan Jabatan Premier Sarawak serta program bersemuka dengan pelajar diperluaskan ke institusi pengajian tinggi (IPT) dan universiti di negeri ini.
Program itu bertujuan menjelaskan manfaat daripada belanjawan yang diumumkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, antara yang perlu dijelaskan ialah bantuan RM200 sebulan untuk membayar sewa rumah kepada pelajar yang memerlukan.
“Selain itu, Sarawak Centre of Performance Excellence Sdn Bhd (SCOPE) yang akan menyertai jerayawara berkenaan turut menerangkan program latihan sambil belajar kepada graduan,” katanya selepas merasmikan Program Taklimat Inisiatif Pendidikan Kerajaan Negeri Sarawak, “Sarawakku Sayang, Siswa-Siswi Disantuni” anjuran Jabatan Premier Sarawak dengan kerjasama UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan di sini, hari ini.
Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong berkata, SCOPE menawarkan tempat kepada graduan untuk bekerja dengan agensi terpilih sementara mereka belum mendapat pekerjaan.
“Mereka akan menjalani latihan sambil bekerja dan diberi elaun,” katanya.
Menurut Fazzrudin, Yayasan Sarawak turut menyediakan bantuan kepada pelajar yang mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) sebanyak RM1,200 setahun seperti yang diumumkan Premier Sarawak.
Justeru jerayawara itu, tambahnya, adalah untuk mendedahkan peluang yang disediakan oleh kerajaan yang boleh dimanfaatkan pelajar secara keseluruhan.
“Kita akan bergerak ke semua tempat untuk memaklumkan peluang itu kepada pelajar di negeri supaya mereka menyedari bantuan yang ditawarkan kerajaan,” katanya.
Program jangkauan itu, kata Fazzrudin, sebenarnya telah dilaksanakan sejak tahun lalu. Setiausaha-setiausaha politik berjumpa dengan masyarakat menerangkan inisiatif yang diperkenalkan itu.
“Tetapi pada tahun ini oleh kerana bajet yang telah diumumkan Premier Sarawak banyak menjurus kepada pelajar, justeru kita membuat keputusan bersemuka dengan pelajar,” tegas beliau.
Sementara itu, Fazzrudin memberitahu, sejumlah RM10,000 diperuntukkan masing-masing untuk hal ehwal pelajar (HEP) dan tabung makanan UiTMCS bagi membantu universiti menyediakan makanan dan keperluan lain kepada pelajar yang memerlukan.
