Pindaan Ordinan Bangunan perkenal ciri-ciri keselamatan mampan

KUCHING: Pindaan Ordinan Bangunan dijangka dibentangkan selewat-lewatnya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November depan.

Ordinan itu akan merangkumi ciri-ciri keselamatan yang lebih standard dan mampan, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian.

Menurutnya, pindaan ordinan baharu ini termasuk garis panduan Indeks Bangunan Hijau (GBI), garis panduan untuk pengecas kereta elektrik (EV), ciri-ciri keselamatan kebakaran atas nasihat Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak dan agensi berkaitan.

Justeru katanya, orang ramai perlu menyemak pindaan tersebut kerana kerajaan entiasa mempunyai ordinan bangunan tetapi ia tidak dikemas kini.

“Ordinan baharu ini akan merangkumi indeks hijau, pengecas kenderaan elektrik (EV) dan ciri keselamatan kebakaran sebagai salah satu ciri utama.

“Kita mahu standard yang seragam di seluruh Sarawak. Tidak ada sebab mengapa Sarawak perlu menjadi istimewa. Kebakaran tidak peduli sama ada anda istimewa atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Tahun Baru Cina 2025 anjuran JBPM Negeri Sarawak di Wisma Wan, Tabuan Jaya hari ini.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menambah, ciri-ciri keselamatan juga turut diguna pakai untuk bangunan lama.

Selain itu, bangunan bersejarah bagi memastikan penyelenggaraan serta piawaian keselamatan mengikut piawaian JBPM Sarawak.