KUCHING: Dua projek mega yang dicadang dibina di kawasan Tanjung Embang dekat Demak Laut di sini iaitu pelabuhan laut dalam dan lapangan terbang antarabangsa baharu mampu mengubah corak pembangunan di kawasan berkenaan.
Rata-rata pemimpin dan ketua masyarakat serta penduduk di kepulauan Tanjung Embang menyambut baik cadangan itu.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, cadangan dua projek ini juga mampu membantu menaik taraf hidup penduduk dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada belia.
“Sehubungan ini, saya menzahirkan terima kasih dan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak khususnya Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg kerana memilih kawasan Tanjung Embang.
“Saya serta penduduk di kawasan Tanjung Embang dan Demak Laut bangga dan teruja mendengar pengumuman berita baik,” katanya.
Dr Hazland berkata demikian sebagai mengulas cadangan Kerajaan Sarawak membina pelabuhan laut dalam dan lapangan antarabangsa baharu.
Semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan PBB Cawangan-cawangan bagi Zon Selatan di Kuching Ahad lalu, Premier Sarawak memberitahu antara faktor mengapa Tanjung Embang dipilih sebagai lokasi pembinaan lapangan terbang antarabangsa yang baharu untuk memenuhi keperluan pesawat yang hendak berlepas dan membuat pendaratan dalam ruangan udara Malaysia sahaja.
Manakala, pembinaan pelabuhan laut dalam untuk memenuhi keperluan kapal-kapal bersaiz besar singgah untuk memunggahkan barangan eksport dan import ke willayah ini.
Ini susulan pelabuhan yang sedia ada di Sarawak tidak mampu menerima kapal-kapal bersaiz besar dan tidak dapat memenuhi kekerapan jadual berlabuh di Sarawak.
Sehubungan ini pula, Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.5 Demak Laut menasihatkan penduduk di kawasan Demak Laut supaya bersedia menerima kehadiran projek pembangunan ini.
Katanya, mereka perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran berkaitan susulan dua projek berkenaan agar dapat memenuhi keperluan tenaga kerja nanti.
Sementara itu, Penghulu Kawasan Tanjung Embang, Bolhassan Ibrahim yang turut menyambut baik cadangan projek ini juga berkata, apabila projek itu siap kelak, ia sebagai hadiah daripada Kerajaan Sarawak kepada penduduk khususnya generasi baharu di Tanjung Embang.
“Terima kasih dan syabas kepada Premier Sarawak kerana memilih kawasan kami untuk dua projek mega. Sebelum ini, kami tidak terfikir kawasan Tanjung Embang dipilih untuk melaksanakan projek besar ini. Apa yang penting generasi muda masa kini perlu bersedia,” katanya.
Ketua Kaum Kampung Semilang, Pauji Ameng yakin projek berkenaan bukan sahaja menjadi kenyataan malah mengubah corak pembangunan di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun kata Pauji, sementara menunggu projek dilaksanakan, beberapa projek pembangunan kecil yang dicadangkan di kawasan ini wajar diteruskan.
Timbalan Ketua PBB Cawangan Demak Laut, Rahmat Sabang juga berkata, cadangan projek tersebut merupakan khabar gembira untuk rakyat Sarawak dan mutiara bagi penduduk di kawasan Demak Laut dan kawasan sekitarnya.
Kawasan Tanjung Embang yang seluas 15,000 hektar terletak di Bahagian Kuching dalam kawasan DUN N.5 Demak Laut dan Parlimen P.193 Santubiong kini mempunyai tujuh kampung iaitu, Kampung Beradek, Kampung Semilang, Kampung Beradek Cina, Kampung Tiang Api, Kampung Sungai Pinang, Kampung Sungai Tanju dan Kampung Beliong.
Kawasan ini berdekatan dengan Pusat Komersial Demak Laut dan bandaraya Kuching, malah akses perhubungan dari kawasan ini ke pusat bandar raya juga akan lebih mudah apabila siapnya kerja pembinaan Jambatan Sejingkat ke kawasan Tanjung Bako.
Mengikut sejarah lisan, Tanjung Embang adalah sebuah perkampungan kecil dalam jajahan Kampung Beradek. Nama Tanjung Embang ditukar sebagai Kampung Tiang Api apabila dua menara Rumah Api dibina di kawasan itu pada akhir tahun 1950-an.
Dua menara rumah api itu masih berfungsi hingga ke kini untuk memberi isyarat keselamatan kepada kapal-kapal yang masuk ke permukaan Sungai Sarawak atau keluar dari Sungai Sarawak mengarah Laut China Selatan pada waktu malam.
