STOLport Bebuling siap Ogos depan

KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menzahirkan rasa puas hati dengan pembinaan dua projek utama di Bahagian Betong berjalan lancar.

Beliau berkata, kemajuan terkini projek STOLport Bebuling dan Jambatan Sungai Paku lancar dan dijangka siap mengikut jadual.

Hasil taklimat daripada kontraktor projek terbabit, mereka memberi jaminan kedua-duanya akan siap mengikut jadual, katanya di sini hari ini.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, sungguhpun kontraktornya turut mengalami sedikit masalah tetapi isu kecil itu dapat mereka tangani.

Semalam, beliau diberi taklimat mengenai perkembangan kemajuan kedua-dua projek itu dan dua lagi projek jalan raya utama semasa mengadakan lawatan ke pejabat JKR Bahagian Betong.

Projek landasan terbang (STOLport) Bebuling berharga RM296 juta, kini 70.16 siap (mendahului jadual 0.38 peratus).

Bangunan terminal landasan terbang itu kini sudah siap dan kerja-kerja sekarang fokus kepada pemasangan sistem lapangan terbang, kerja awam, tempat parkir dan jalan ases ke lapangan terbang dan dijadual siap pada Ogos 2025.

Mengenai jambatan keluli Sungai Paku di Tanjung Sebekut, Spaoh, Uggah berkata, ia juga dijadual siap pada Ogos 2025.

Bagaimanapun, beliau berharap kontraktornya dapat menyiapkan jambatan itu sebelum atau pada Jun tahun ini.

Ini akan menjadikan sambutan Gawai Dayak tahun ini lebih bermakna dan istimewa bagi penduduk setempat, katanya.

Jambatan berharga RM36.9 juta tu kini 48.65 peratus siap berbanding jadual asal 48.37 peratus.

Penghantaran bahan binaan dari syarikatnya di Sejingkat dijangka sampai ke tapak untuk pemasangan menjelang bulan ini, katanya.

Hadir sama pada taklimat itu ialah Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr. Richard Rapu, Residen Bahagian Betong, Michael Abunawas, Jurutera JKR Bahagian, Jason Ng dan Superintenden Jabatan Tanah dan Survei Bahgian, Moris Nayup.