KUCHING: Sarawak akan menganjurkan Festival Ekspo Umrah dan Pelancongan Islamik Sarawak 2025 (SUITEC25) sebagai inisiatif untuk mempromosikan pelancongan Islam, termasuk pakej Umrah dan Haji yang sah dan berlesen.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzan, SUITEC25 menyediakan maklumat lengkap dan pakej dengan harga kompetitif daripada agensi yang sah dan berintegriti.
“SUITEC25 adalah platform penting untuk memperkasa sektor pelancongan Islam, menyediakan peluang kepada rakyat Sarawak untuk mendapatkan maklumat lengkap dan pakej dengan harga kompetitif daripada agensi yang sah dan berintegriti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media SUITEC25 di Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
SUITEC25 anjuran Persatuan Umrah dan Haji Sarawak (SUHA) dengan sokongan penuh MTCP ini dijadual berlangsung dari 21 hingga 23 Februari depan di Mydin di sini, mulai jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.
Ia mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Jabatan Islam Negeri Sarawak (JAIS) dan Jabatan Mufti Sarawak yang bertindak sebagai rakan strategik.
Acara ini bertujuan memperkenalkan pelbagai pakej umrah, haji dan pelancongan Islamik kepada masyarakat, bukan sahaja di Kuching tetapi juga dari seluruh Sarawak.
Ia akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik, termasuk perkongsian eksklusif oleh penceramah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Riz yang diterbang khas dari Kuala Lumpur.
Program pemeriksaan kesihatan percuma untuk pengunjung serta pameran dan pendaftaran langsung pakej berkenaan.
Menurut Pengerusi SUHA, Ruzaiman Ghazalee, penganjuran SUITEC25 adalah langkah strategik untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan memilih agensi pelancongan yang berlesen dan berwibawa.
“Program ini akan membantu mengelakkan kes penipuan yang melibatkan pakej umrah dan haji di samping memberi pendedahan meluas kepada pelancongan Islam,” jelasnya.
