Hormati prinsip pengasingan kuasa Kehakiman Syariah – TYT

KUCHING: Semua pihak disaran menghormati prinsip pengasingan kuasa bagi mewujudkan sistem kehakiman Syariah yang bebas.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini akan membolehkan Mahkamah Syariah menguatkuasakan undang-undang Syariah dengan lebih berkesan sekali gus meningkatkan keyakinan orang awam khususnya umat Islam terhadap ketelusan dan keadilan sistem perundangan syariah.

Tambahnya, prinsip pengasingan kuasa antara badan eksekutif, legislatif dan kehakiman perlu difahami, dilaksana dengan tegas dan dihormati bagi memastikan badan kerajaan melaksanakan fungsi serta tanggungjawabnya tanpa pengaruh pihak lain.

“Dalam konteks Mahkamah Syariah yang menjalankan fungsi kehakiman, prinsip ini amat penting untuk memastikan keputusan mahkamah dibuat secara bebas, adil dan berdasarkan prinsip murni undang-undang Islam.

“Oleh itu, saya menyeru semua pihak menghormati prinsip pemisahan kuasa ini bagi mewujudkan sistem kehakiman Syariah yang bebas,” katanya ketika menyampaikan Syarahan Negarawan sempena Pembukaan Tahun Perundangan Syariah di Dewan Majma’ Tunku Abd Halim Mu’adzam Shah di sini, hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

TYT turut menekankan langkah-langkah utama untuk memperbaiki pentadbiran sistem kehakiman, termasuk menyusun semula sumber manusia, meningkatkan keupayaan hakim dan pegawai Syariah.

Selain itu, memperkukuhkan teknologi digital dalam pengurusan kes serta menggubal undang-undang yang relevan selaras dengan perkembangan semasa, katanya.

Beliau turut menyokong usaha Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) memperluaskan hierarki Mahkamah Syariah daripada tiga kepada empat peringkat melalui penubuhan Mahkamah Tertinggi Syariah seperti yang direalisasikan di Perak dan Sabah.

Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr. Juanda Jaya, Presiden Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Ketua Hakim Syariah Sarawak Datu Awang Suhaili Ledi, Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syariah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Datuk Mohd Amran Mat Zain, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Sarawak, Hakim Mahkamah Rayuan JKSM, dan Ketua Hakim Syariah dari Semenanjung Malaysia.