SARATOK: Projek naik taraf jalan Kampung Kupang ke Simpang Jalan Bajau di sini akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, ini berikutan proses reka bentuk, pembayaran pampasan dan lantikan kontraktor projek sudah selesai.
Katanya, skop projek termasuk menurap jalan sepanjang 20 kilometer (km), pembinaan sistem saliran jalan dan pembinaan lima jambatan serta dijangka siap September 2027.
“Pembinaan jalan yang berturap ini akan memberikan keselesaan penduduk Kampung Kupang dan beberapa rumah panjang di sepanjang jalan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis ringkas serah tapak projek jalan Kampung Kupang ke Simpang Bajau Saratok di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Saratok di sini.
Mohamad Duri berterima kasih kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kerana penambahan dana projek daripada RM90 juta kepada RM112.9 juta.
Sementara itu, beliau juga memberitahu projek pembinaan Jambatan Sungai Krian Dua di pekan Saratok akan ditender pada tahun ini.
