KUCHING: Cadangan penubuhan badan amanah masyarakat Melayu bagi memastikan tanah tradisi kaum Melayu terus terpelihara dan dibangunkan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, badan amanah tersebut yang memiliki kekuatan kewangan perlu untuk membeli tanah tradisi yang dijual bagi tujuan hukum faraid.
Katanya, badan amanah ini bertujuan memastikan aset yang dijual kepada badan amanah Melayu dapat diguna untuk membangunkan kawasan itu sendiri.
“Umpamanya, pemilik kedai meninggal dunia dan kedai itu, statusnya adalah komersial, maka ia akan dijual kepada sesiapa saja yang dapat membeli.
“Tetapi untuk orang Melayu selalunya mereka tidak mempunyai sumber kewangan untuk membeli, maka akhirnya terlepas harta tersebut daripada tangan orang Melayu.
“Solusinya ialah kita hendaklah memantapkan masyarakat Melayu dalam satu badan amanah di mana kalau dijual harta disebabkan keperluan hukum faraid, badan amanah ini boleh membeli harta itu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Buku Adat Melayu Sarawak Berteraskan Syariah Islam di Hikmah Exchange di sini.
Menjelas lanjut, beliau berkata masyarakat Melayu boleh bekerjasama dengan orang bukan Melayu dengan syarat mereka mesti mempunyai peratusan ekuiti dalam kerjasama tersebut.
Hadir sama Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Dato Ibrahim Baki, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) Datuk Abang Abdul Wahab Abang Julai, Setiausaha Politik Kepada Dato Sri Fadillah Yusof merangkap wakil keluarga Muhammad Hasbie, Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie, Presiden Persatuan Penulis Sarawak Awang Zaidel Awang Jamil serta dif kenamaan lain.
