Elak adat resam Melayu terhakis

KUCHING: Kebanyakan adat resam masyarakat Melayu di negeri ini yang pupus sekarang perlu dikaji semula dari segi warisannya, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, antara kekayaan adat resam orang Melayu yang hampir pupus sekarang ialah dari sudut majlis perkahwinan.

“Ini mungkin disebabkan orang Melayu mahu mengadakan majlis perkahwinan itu dengan cara baharu dan keadaan baharu sehingga adat ditepikan,” katanya ketika melancarkan buku Adat Resam Mesyarakat Melayu Sarawak berasaskan syariah Islam di Hikmah Ecxhange, di sini, hari ini.

Justeru, Abang Johari menggesa mereka yang pakar dengan kekayaan adat resam itu mengkajikannya secara bersama untuk tatapan generasi akan datang.

Adat resam orang Melayu, tambahnya, kaya dengan budaya kiasan dan bertukar pantun apabila hendak meraikan majlis perkahwinan iaitu daripada acara merisik sehingga bertunang.

Oleh itu, buku karya seorang aktivis Melayu dan bekas Pengarah Jabatan Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Hasbie Sulaiman itu, katanya, boleh dijadikan sebagai dokumen penting untuk panduan generasi akan datang.

Dalam pada itu, Abang Johari turut menegaskan, kerajaan menggunakan pendekatan holistik dalam membangunkan kawasan orang Melayu menjadi bandar baharu untuk mempertahankan harta warisan orang Melayu.

“Bagi kawasan Satok, kita telah menubuhkan sebuah lembaga amanah untuk membangunkan kawasan tertabit secara bersama bagi mengekalkan kepentingan orang Melayu,” tegas beliau.

Sebagai misalan, tambahnya, membina bangunan Hikmah Exchange, harta milik orang Melayu tetap kekal.

Majlis itu turut dihadiri, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utili) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki, Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, wakil keluarga Muhammad Hasbie yang juga Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Irwan Muhammad Hasbie dan Presiden Persatuan Melayu Sarawak, Awang Zaidel Awang Jamil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *