Replika kubu Rentap dibina, daya tarikan pelancong

BETONG: Kerja membina replika kubu Rentap sebagai daya tarikah pelancongan akan dimulakan tahun ini, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, projek itu menunggu kelulusan akhir daripada pihak berkaitan untuk melaksanakannya.

“Rentap adalah seorang pahlawan legenda yang berjuang menentang pentadbiran Rajah Orang Putih,” katanya pada majlis Apresiasi Majlis Daerah Betong bagi menghargai sumbangan kakitanganya di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di sini, malam tadi.

Katanya, peruntukan RM16 juta untuk melaksanakan infrastruktur berkaitan di tempat sama di Bukit Sadok.

Menurut Uggah, sektor pelancongan merupakan satu daripada sektor yang akan dibangun oleh Bahagian Betong di samping memodenkan sektor pertanian.

Bahagian Betong, memiliki banyak daya tarikan pelancongan yang boleh dibangun dan dipromosikan, katanya.

Beliau menambah, Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bersama Pejabat Residen dan Daerah memain peranan penting dalam membangunkan sektor pelancongan itu dengan pengusaha pelancongan.

“BDDA, Pejabat Residen dan Daerah harus bersama-sama mengenal pasti dan membangunkan sektor pelancongan itu meliputi rumah panjang tradisional, keunikan budaya dan adat resam serta ladang milik masyarakat.

“Betong kini mudah dikunjungi melalui Lebuhraya Pan Borneo. Dengan siapnya Jalanraya Pesisir dan STOLport Bebuling di Spaoh, lebih ramai pelancong akan datang ke sini,” katanya.

Uggah berkata, dengan membangunkan sektor pelancongan itu, pekebun, pengusaha inap desa, pengusaha barangan kraf dan makanan dan perniaga setempat akan mendapat faedahnya.

Beliau turut menggesa kakitangan Majlis Daerah Betong supaya memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi dan berdisiplin.

Hadir sama Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr. Richard Rapu, Residen Bahagian Betong, Michael Abunawas, Pegawai Tadbir Khas BDDA, Abang Mohamed Abang Trukey dan Setiausaha Majlis Daerah Betong, Lister Clement Guwie.