KUCHING: Salah seorang calon Naib Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Julaihi Narawi akan terus memberi sumbangan dan kerjasama kepada semua ahli parti untuk mengukuhkan jenteranya.
Julaihi yang juga penyandang kerusi berkenaan berkata, beliau akan terus memikul tanggungjawab yang diamanahkan untuk menyumbang kepada parti dan keluarga Sarawak.
“Saya berharap rakan-rakan parti di seluruh Sarawak akan terus memberi sokongan dan kerjasama seperti yang telah diberikan kepada saya sehingga hari ini,” katanya di Ibu Pejabat Parti PBB, Jalan Bako di sini.
Beliau berkata demikian selepas pengumuman calon bertanding pada Perhimpunan Agung Ke-16 Parti PBB mulai 14 hingga 16 Februari ini, oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan merangkap Penasihat Undang-Undang parti, Dato Awang Bemee Awang Ali Basah.
Julaihi akan bertanding bagi jawatan tersebut dengan mendapat pencalonan nombor lima.
“Bagi saya ini adalah pertandingan dalam satu keluarga Parti PBB yang besar. Dan kita sentiasa bekerjasama dari semasa ke semasa demi pembangunan Sarawak terutama sekali menjelang tahun 2030.
“Insya-Allah, ini adalah satu pasukan, satu kerjasama dalam kalangan semua ahli PBB,” tambahnya.
