KUCHING: Selepas lebih 40 tahun berjuang dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), kini masanya untuk memikul tanggungjawab lebih besar membantu mengukuhkan lagi jentera parti, kata Dato Ibrahim Baki.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok itu berkata, menjadi lumrah bagi setiap ahli parti untuk bertanding selepas menerima galakan daripada rakan-rakan dan pencalonan.
“Hakikatnya, saya tidak berniat untuk bertanding, tetapi apabila ramai ahli parti dan kawan-kawan memberi galakan dan menerima banyak pencolanan, saya mempertimbangannya untuk tidak mengecewakan mereka.
“Saya serahkan kepada perwakilan untuk membuat keputusan. Saya percaya ahli-ahli Parti PBB semuanya matang, sama ada menang atau kalah, ia bukan menjadi isu dalam PBB,” katanya semasa ditemui di Ibu Pejabat Parti PBB, Jalan Bako di sini.
Beliau antara enam calon yang akan bertanding bagi jawatan Naib Yang di-Pertua Parti PBB dalam Perhimpunan Agung Ke-16 pada 14 hingga 16 Februari ini.
Malah, Ibrahim Baki berkata, Parti PBB mengamalkan semangat kekeluargaan justeru, pertandingan ini diadakan dalam semangat kekeluargaan.
“Pangkat dan darjat bukan untuk dikejar seperti yang kerap dinyatakan oleh Premier Sarawak. Kita bertanding bukan untuk mencapai kemenangan peribadi,” katanya sambil menambah, Parti PBB merupakan sebuah parti yang berdisiplin.
Oleh kerana PBB adalah parti yang berdisiplin dan mementingkan rakyat, katanya, maka PBB memenangi semua kerusi yang ditandingi pada pilihan raya lalu.
Menyingkap rekod perjuangan ADUN Satok itu, beliau menjadi Ketua Cawangan Pemuda PBB Jalan Muhibbah di sini, pada 1985 hingga 1995, Ketua Bahagian Pemuda N6 Satok (kini N8) (1993-2002), Naib Ketua Bahagian N6 Satok (1993-2002), Exco Pemuda PBB Negeri (1987-1993, Setiausaha Agung Pemuda Negeri (1993-1995), Naib Ketua Pemuda PBB (1995-2002), Ahli Majlis Tertinggi (MT)(2002-2005), manakala 2019 sehingga kini sebagai Timbalan Setiausaha Agung PBB dan 2019 sehingga kini Bendahari Gabungan Parti Sarawak (GPS) selain Ketua Whip GPS.
“Jika saya dipilih sebagai salah seorang Naib Yang di-Pertua parti, tanggungjawabnya lebih besar lagi dan tetap komited dan mendukung perjuangan parti.
“Jika diberi peluang dan menang, tentu saya akan memainkan peranan lebih besar iaitu membantu pucuk kepimpinan parti, mungkin membantu menggubal dasar,” tegasnya.
Beliau turut bergerak aktif di peringkat akar umbi dan mendengar keluhan rakyat.
Dalam perhimpunan agung parti terdahulu, katanya, ahli-ahli telah menyaksikan pertandingan, tetapi selepas pemilihan, semuanya bersatu kembali seperti kata peribahasa Melayu ‘ombak berlalu, kiambang bertaut dan beginilah semangat ahli-ahli dalam Parti PBB.
Ibrahim Baki adalah seorang pengamal undang-undang dan berlatar belakang seorang ahli korporat.
