KUCHING: Kerjasama erat pusat khidmat wakil rakyat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) mampu memperkasa usaha penyampaian maklumat secara berkesan kepada rakyat sehingga ke peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak dalam memastikan pembangunan negeri dapat dinikmati secara inklusif dan menyeluruh.
Menurut beliau, penyampaian maklumat berkaitan bantuan kerajaan perlu diperluaskan agar masyarakat termasuk di luar bandar dan pedalaman tidak tercicir menikmati manfaat yang disediakan.
“Pusat khidmat perlu sentiasa proaktif, mesra rakyat dan menguasai maklumat semasa supaya dapat membantu wakil rakyat menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Demi Rakyat Bersama Pusat Khidmat Zon Selatan di Waterfront Hotel hari ini.
Beliau yang juga ADUN Pantai Damai berkata, kerajaan menyediakan pelbagai bantuan meliputi rawatan kesihatan, pendidikan, peluang pekerjaan serta bantuan kebajikan kepada rakyat dari peringkat lahir sehingga akhir hayat.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Sarawak menerusi Program Sarawakku Sayang (SKS) kini menawarkan lebih 21,000 peluang pekerjaan menerusi pelbagai sektor awam dan swasta bagi membuka ruang kepada anak Sarawak yang bekerja di luar negeri untuk kembali berkhidmat di negeri sendiri.
Sementara itu, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak, Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, penyebaran maklumat yang tepat dan mudah difahami amat penting bagi memastikan rakyat tidak tercicir daripada menerima manfaat pelbagai inisiatif kerajaan.
Menurut beliau, masih terdapat segelintir masyarakat khususnya di kawasan kampung yang belum memperoleh maklumat lengkap berkaitan bantuan kerajaan seperti Skim Kenyalang, Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), bantuan warga emas dan bantuan kebajikan lain.
“Walaupun promosi telah banyak dilakukan, masih ada masyarakat yang belum tahu tentang bantuan dan inisiatif kerajaan. Sebab itu program penerangan seperti ini perlu diteruskan supaya maklumat sampai terus kepada rakyat,” katanya.
Terdahulu diadakan sesi perkongsian pegawai daripada Kementerian Pendidikan, lnovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Cynthia, Pegawai daripada Yayasan Sarawak, Mustafa Arif Kiphli dan Kementerian Pembangunan Wanita Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Jacintha Olivia Mukin.
