KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas kini dalam fasa penambahbaikan menerusi sesi libat urus berterusan bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk persatuan yang mewakili golongan warga emas di negara ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata, kementeriannya (KPWKM) masih menerima pelbagai input dan cadangan yang perlu diperhalusi sebelum RUU tersebut dibentangkan ke Kabinet seterusnya ke Parlimen.
“Walaupun RUU ini hampir siap, masih banyak input diterima daripada pihak berkepentingan terutama persatuan yang mewakili warga emas yang mahu beberapa perkara dimasukkan dalam RUU tersebut.
“Ada juga pandangan supaya tindakan dikenakan terhadap anak yang tidak menjaga ibu bapa, namun pada masa sama, terdapat suara lain yang meminta kita melihat pengalaman negara lain sebelum sesuatu keputusan dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Sambutan Hari Ibu Peringkat Sarawak 2026 di Pustaka Negeri Sarawak, di sini hari ini.
Nancy menjelaskan, kementeriannya diberikan tempoh enam bulan untuk membentangkan RUU tersebut ke Kabinet sebelum dibawa ke Parlimen.
Sementara itu jelas Nancy, KPWKM melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) komited menyediakan pelbagai inisiatif bagi menyokong kesejahteraan wanita dan institusi kekeluargaan di negara ini.
Beliau berkata, antara inisiatif terbaharu yang diperkenalkan ialah Pakej ‘Seteguh KASIH Ibu’ yang memberi fokus kepada keperluan ibu secara menyeluruh.
Turut hadir ialah Pengerusi LPPKN Dato Sri Rohani Abdul Karim.
