24 rumah panjang DUN Kabong terima bakul makanan

KABONG: Seramai 876 penerima daripada 24 rumah panjang di DUN Kabong menerima bakul makanan sempena Hari Gawai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, bantuan itu melibatkan warga emas, oranh kelainan upaya (OKU) dan ibu tunggal yang layak, sebagai usaha meringankan beban mereka membuat persiapan perayaan.

Majlis simbolik penyerahan diadakan di empat lokasi iaitu Rumah Nyandang Empaling, Rumah Bir Rangga, Rumah Graman Busum dan Rumah Chuat Bugey, melibatkan penerima dari sekitar kawasan tersebut.

Bagi rumah panjang yang tidak terlibat, Ketua Biro Wanita masing-masing akan mengambil bakul makanan di Pusat Khidmat ADUN N.40 Kabong untuk diagihkan.

Program ini dianjurkan oleh Biro Wanita Rumah Panjang DUN Kabong bersama Pergerakan Wanita dan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN.

Chee Kadir menegaskan program ini akan diteruskan sebagai tanda keprihatinan terhadap rakyat tanpa mengira latar belakang.