Kontrak EPC Platform Sirung dimeterai, industri tenaga Sarawak diperkukuh

KUCHING: PTTEP Sarawak Oil Limited dan Brooke Holding Sdn Bhd (BHSB) memeterai kontrak penyediaan kerja Kejuruteraan, Perolehan dan Pembinaan (EPC) Projek Platform Sirung hari ini.

Projek ini melibatkan kira-kira 8,500 tan metrik komponen topside dan substruktur bagi pembangunan hidrokarbon Medan Sirung terletak kira-kira 140 kilometer (km) dari Kompleks Malaysia LNG (MLNG) di Bintulu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan majlis menandatangani kontrak tersebut di Hotel Sheraton, di sini.

Kontrak ditandatangani Brooke Holding Sdn. Bhd yang diwakili Pengerusinya Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar dan Pengurus Besarnya, Lubau Genam manakala PTTEP Sarawak Oil Limited diwakili Pengurus Negara Aset Malaysia, Vitoon Chaisomboonpan dari Jabatan Pembinaan dan Kejuruteraan VP Malaysia Greenfield, Norapan Tantrongchitt.

Abang Johari berkata, projek terbabit dijangka memulakan pengeluaran pada 2028 dengan kapasiti sekitar 15,000 tong sehari dan turut menekankan operasi mesra alam.

“Hasil daripada pembangunan sektor minyak dan gas ini akan membolehkan kerajaan menambah pelaburan dalam infrastruktur, pendidikan, kesihatan serta pembangunan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata, penglibatan syarikat tempatan seperti Brooke Holding juga mencerminkan usaha membina keupayaan syarikat Sarawak agar mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Turut hadir, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr.Hazland Abang Hipni dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh.