Kerajaan percepatkan proses ukur tanah NCR, 110,815 lot diukur setakat 30 April lalu

BETONG: Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) merekodkan sebanyak 110,815 lot individu berjaya diukur setakat 30 April lalu.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, ia melibatkan keluasan 132,414 hektar di seluruh negeri.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 37,168 lot dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak (KTS) melibatkan keluasan 52,173 hektar.

“Pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan memperkukuhkan pemilikan tanah NCR rakyat menerusi Program Pengukuran Tanah NCR yang diperkenal sejak 2010,” katanya berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan Padeh di Rumah Aji Jeffrit Bungkang, hari ini.

Pada majlis tersebut, sebanyak 48 surat hak milik tanah Seksyen 18 KTS diserahkan kepada 44 penerima daripada komuniti Iban melibatkan keluasan keseluruhan 236.69 hektar tanah di kawasan Padeh.

Len berkata, kerajaan turut mengkaji pelbagai kaedah bagi mempercepatkan proses penyukatan tanah NCR supaya pemilik mempunyai dokumen pemilikan yang sah serta sempadan tanah yang jelas bagi mengelakkan pencerobohan.

Program itu katanya, dilaksanakan secara dua peringkat iaitu pengukuran perimeter serta pewartaan di bawah Seksyen 6 KTS sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian), diikuti pengukuran lot individu dan pengeluaran surat hak milik di bawah Seksyen 18 KTS.

Beliau berkata, sehingga kini Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak berjaya melaksanakan pengukuran perimeter melibatkan keluasan kira-kira 1,233,192 hektar di seluruh Sarawak sejak 2010, dengan 966,440 hektar diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu; Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu; Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas dan Penguasa Tanah Dan Survei Bahagian Betong, Moris Nayup.