KUCHING: Kanak-kanak berstatus anak tidak sah taraf di Sarawak layak dipertimbangkan untuk diberikan indikator ‘K’ dalam kad pengenalan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia selaras dengan maklumat ibu atau bapa kandung yang tercatat dalam sijil kelahiran.
“Kelayakan itu turut melibatkan kanak-kanak yang memperoleh kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKKSK) Perkara 15A Peringkat Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Menurutnya, pemberian indikator ‘K’ adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berdasarkan prosedur semasa, termasuk syarat ibu atau bapa kandung merupakan warganegara Malaysia yang bermastautin di Sarawak serta memiliki kad pengenalan berindikator ‘K’.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan gantian kad pengenalan kepada lima individu yang diluluskan kemasukan indikator ‘K’, selain menyerahkan sijil kewarganegaraan kepada seorang pemohon.
Terdahulu, sebanyak 95 permohonan kewarganegaraan dibentangkan dalam mesyuarat berkenaan, melibatkan 52 kes anak tidak sah taraf, 38 anak jagaan dan lima anak angkat.
Bagi tempoh 2024 hingga 25 Mei 2026, sebanyak 409 permohonan telah dibentangkan, dengan 243 melibatkan anak tidak sah taraf, 136 anak jagaan dan 30 anak angkat.
