KUCHING : Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) menggalakkan lebih ramai pengguna domestik di Sarawak menyertai program Pemeteran Tenaga Bersih (Net Energy Metering – NEM).
Menterinya, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, langkah tersebut adalah melalui pemasangan Sistem Solar Fotovoltaia (PV) atas bumbung.
“Ia bagi membantu mengurangkan kos bil elektrik serta menyokong agenda peralihan tenaga negeri,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kempen Kesedaran Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) di Hotel Waterfront , di sini, hari ini.
Tambah Julaihi, penyertaan rakyat dalam program itu penting bagi memperkukuh penggunaan tenaga boleh diperbaharui di Sarawak.
“Tenaga solar kini semakin memainkan peranan penting bersama tenaga hidro.
“Usaha peralihan tenaga tidak boleh digerakkan kerajaan dan industri sahaja, sebaliknya memerlukan penyertaan menyeluruh rakyat melalui inisiatif seperti NEM,” jelasnya.
Melalui program ini katanya, rakyat bukan sahaja dapat mengurangkan kos elektrik bulanan, malah turut menyumbang kepada pembangunan sistem tenaga yang lebih mampan dan berdaya tahan.
“Sarawak menyasarkan kapasiti tenaga solar sebanyak 1.5 gigawatt (GW) menjelang 2030 dan 3.5GW menjelang 2035.
“Ia selaras dengan Pelan Induk Kelestarian Sarawak 2030 serta Dasar Peralihan Tenaga Sarawak,” katanya.
Pada masa sama, Julaihi memaklumkan negeri ini turut menyasarkan kapasiti penjanaan elektrik sebanyak 10GW menjelang 2030 dan 15GW menjelang 2035.
Tambahnya, mengikut rekod, sekurang- kurangnya, 60 peratus campuran penjanaan negeri datang daripada sumber tenaga boleh diperbaharui.
Setakat ini, Julaihi menyatakan sekitar 800 permohonan telah diterima di bawah skim NEM, menunjukkan peningkatan minat pengguna terhadap pemasangan rooftop solar di kediaman masing-masing.
Daripada jumlah subsidi berkenaan, 174 diluluskan pemasangan di kediaman pengguna di seluruh Sarawak.
Sarawak tegas Julaihi lagi turut menyediakan subsidi keseluruhan sebanyak RM10.24 juta bagi membantu mengurangkan kos pemasangan awal sistem rooftop solar untuk pengguna domestik yang layak.
Jumlah subsidi yang ditawarkan adalah antara RM8,000 hingga RM12,000 bergantung kepada kapasiti sistem yang dipasang.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SESCO, Yusri Safri, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) Ir Ts George Lee Chun Lung dan Pengarah Bahagian Bekalan Elektrik MUT Ir Ts Muhammad Randie Abdullah.
